Seperti yang selalu orang tua kita perkatakan, kelahiran bayi itu membawa rezeki. Anak juga datang bersama tanggungjawab untuk kita sebagai ibu dan bapa untuk menjaga anak yang telah dikurniakan kepada kita. Mencari ilmu itu dituntut, dan ilmu keibubapaan juga adalah salah satu ilmu yang boleh kita pelajari.
Ketika hamil, kebanyakan ibu gigih mencari ilmu untuk menjaga kandungan dan juga cara melahirkan. Namun, terdapat juga beberapa pengetahuan lagi yang bakal ibu dan bapa terlepas pandang dan menyebabkan awal kelahiran agak kelam kabut. Hari ini mama-share.com akan kongsikan beberapa ilmu pengetahuan yang boleh bakal ibu dan bapa pelajari bersama serta senarai komuniti yang dapat membantu ibu bapa sebelum menyambut kelahiran pertama anda, atau kelahiran seterusnya.
Cara Melahirkan
Tidak dinafikan, dari awal kehamilan hingga menginjak hujung trimester, seorang bakal ibu tidak boleh tidak akan memikirkan keadaan kelahiran. Manakan tidak, melahirkan itu dikenali juga sebagai bertarung nyawa untuk melahirkan zuriat yang dinantikan. Dengan sedikit ilmu, kesakitan yang dialam ketika melahirkan dapat dikurangkan.
Kami kongsikan sedikit tips yang ibu boleh pelajari bagi mengurangkan sedikit kesakitan ketika bersalin:
- Berlatih kawal pernafasan
- Pastikan Tenaga Mencukupi untuk Melahirkan
- Tidur dan Rehat Secukupnya
- Senaman Ringkas
- Posisi Manfaatkan Graviti
- Dapatkan Restu dari Suami dan Ibu Bapa
- Berdoa dipermudahkan urusan
Anda boleh ikuti saluran Youtube Bridget Taylor yang merupakan seorang doula bagi mendapatkan tips kawalan pernafasan dan cara mendapatkan kaedah kelahiran terbaik untuk anda.
Menguruskan Fizikal dan Emosi Ibu Selepas Kelahiran
Perkara ini seringkali secara tidak sengaja terlepas pandang oleh ibu bapa baru. Manakan tidak, orang di sekeliling terlalu teruja ingin berjumpa dengan bayi yang baru lahir, sampaikan terlupa ibu baru sahaja mengalami episod perubahan terbesar dalam hidupnya, termasuk trauma kesakitan dan pelbagai emosi disebabkan hormon yang kucar kacir dari kehamilannya. Jadi sebagai suami dan juga bapa kepada bayi yang baru dilahirkan, adalah penting untuk para bapa pelajari cara mengendalikan emosi dan fizikal ibu. Berikut antara yang ibu alami ketika kelahiran dan selepasnya.
Secara fizikal;
- Kesakitan selepas bersalin
- Luka jahitan (Episiotomi atau caesarian)
- Lenguh-lenguh seluruh tubuh badan disebabkan contraction dan kelahiran
- Sakit Puting ketika menyusukan
- Kekurangan tenaga selepas contraction dan meneran
- Lapar dan dahaga
- Tidak cukup tidur
Secara emosi;
- Hormon yang berlebihan menyebabkan ‘baby blues’
- Mengalami perubahan terbesar dalam hidup
- Kerisauan yang melampau (overthinking) untuk menjaga anak yang baru dilahirkan
Justeru, para bapa atau penjaga ibu selepas melahirkan perlu menitikberatkan hal ini. Sentiasa bertanya keadaan ibu, penjagaan luka bersalin dan memastikan ibu mendapat rehat dan tidur yang cukup amatlah penting setelah proses melahirkan. Makanan yang berkhasiat juga perlu disediakan bagi memberi ibu tenaga untuk menjaga bayi yang baru dilahirkan
Penyusuan Bayi
Kebanyakan bakal ibu tidak menyedari kepentingan ilmu penyusuan sebelum bersalin. Seringkali penyusuan itu disalah anggap semudah meletakkan bayi ke puting susu dan ia berjalan seperti biasa. Tidak ramai yang menyedari di sebalik penyusuan itu terdapat, pelbagai perkara penting yang perlu diambil kira sebelum bayi yang baru dilahirkan dapat menyusu dengan jayanya. Antaranya, lekapan bayi, jarak penyusuan bagi bayi yang baru lahir, keadaan puting dan juga mulut bayi yang mempengaruhi cara penyusuan, dan sebagainya.
Anda boleh dapatkan ilmu penyusuan melalui komuniti facebook Happy Breasfeeding Malaysia yang diasaskan oleh Puan Diyana (kakdy). Di sini anda boleh perolehi tips daripada admin, dan juga bertanya soalan yang anda fikirkan.
Menenangkan Bayi
Ibu bapa yang baru sahaja menyambut kelahiran zuriat perlu menguasai kemahiran menenangkan bayi. Hal ini kerana, selepas kelahiran, juga dikenali sebagai trimester ke 4 adalah fasa di mana berlakunya banyak perubahan pada persekitaran bayi dan menyebabkan anak perlu ditenangkan dengan baik. Bayangkan anda di bawa ke sebuah tempat yang asing tanpa kemampuan untuk berkomunikasi dan bergerak sendiri. Pasti anda panik bukan? Begitu juga dengan bayi anda. Setelah sembilan bulan berapa di dalam rahim anda, sentiasa berada dalam dakapan ibu, tiba-tiba perlu berada di persekitaran yang terlalu asing. Terdapat 5 perkara yang anda boleh lakukan untuk menenangkan bayi, iaitu dikenali sebagai 5S:
- Swaddle
Swaddle/Berbedung dapat menenangkan bayi kerana bayi akan terasa seperti dalam rahim ibu yang sempit. Bedungan yang kemas boleh dipelajari ibu dengan mengikuti video youtube atau hanya boleh dapatkan bedung express yang semakin banyak berada di pasaran
- Side/Stomach position
Posisi bayi dalam keadaan mengiring atau meniarap dapat memberikan keselesaan kepada bayi di mana ia akan berasa seperti didakap sepertimana kebiasaan di dalam rahim
- Shush
Shush/white noise adalah bunyi-bunyian yang dapat menenangkan bayi. Anda boleh buat bunyi shushh.. Atau boleh juga buka bunyi white noise seperti bunyi hujan, bunyi air terjun bahkan bunyi vacuum atau pengering rambut kerana bunyi ini seakan bunyi di dalam rahim.
- Swing
Swing atau berbuai pula antara salah satu kaedah menenangkan bayi yang berkesan. Berbuai mempunyai persamaan seperti didodoi, di mana ketika mereka berada di dalam rahim ibu, mereka sentiasa berasa dibuai dan didukung dan ini membantu mereka menenangkan diri.
- Suck
Suck atau menghisap susu/puting tiruan memberi ketenangan yang mendalam kepada bayi. Jadi kebanyakan bayi lebih gemar mengempeng dengan ibu sehingga mereka boleh tertidur dengan mudah.
Anda boleh ikuti page Baby Language yang diasakan oleh Puan Uswatun untuk mempelajari cara menenangkan dan memahami kehendak bayi dengan lebih mudah.
Menguruskan Keperluan Bayi
Kemahiran menguruskan bayi sebenarnya lebih kepada konsep ‘learn as we go’. Tiada latihan yang dapat dibuat sebelum kelahiran bayi sebagai persediaan. Namun cukup untuk kita mengetahui bayi mempunyai rutin harian yang sama dan latihan membawa kepada kesempurnaan. Para bapa juga perlu memainkan peranan penting kerana rutin bersama bayi juga memberi kita ‘bonding time’ dan fasa kita berkenalan dan bayi kita sendiri.
Dengan mengetahui dengan lebih dalam 5 ilmu yang mama-share.com bincangkan, ibu bapa akan dapat mengurangkan kejutan setibanya bayi ke dalam hidup. Semoga informasi yang diberi dapat membantu anda di luar sana dengan jayanya!
1 thought on “5 Ilmu Ibu Ayah Perlu Kuasai Sebelum Kelahiran Bayi”