Sebagai ibu bapa, kita sering kali akan melihat dan memerhati setiap pergerakan anak sebagai petunjuk tahap kesihatan mereka. Antara yang kerap berlaku setelah anak mula makan adalah sembelit atau kesukaran membuang air besar. Dalam artikel ini, mama-share akan membincangkan tanda-tanda anak anda mengalami kesukaran membuang air besar atau sembelit, pemakanan yang digalakkan untuk diberi kepada anak anda dan makan yang perlu dielakkan ketika anak sembelit.
Mengenalpasti Anak Sembelit
Memahami tanda sembelit, pastinya dapat membantu mengatasi masalah kesihatan bayi sebelum ia bertukar menjadi masalah yang lebih besar.
Jadi sebelum tahu cara mengatasi bayi sembelit, kenali dahulu simptomnya:
1. Tidak Buang air besar
Kekerapan bayi akan membuang air besar pada setiap hari akan ada turun naik, terutama apabila anda memperkenalkannya makanan baru.
Jika bayi anda tidak membuang air besar selama beberapa hari dan kemudian mempunyai najis yang keras, ia kemungkinan petanda mereka mengalami sembelit.
Sembelit bukan sahaja bergantung kepada jumlah kekerapan membuang air besar, tetapi juga kepada keadaan najis itu juga.
2. Menahan
Sekiranya berlaku perubahan wajah bayi anda ketika sedang membuang air besar, seperti kelihatan tegang atau berkerut, ia mungkin tanda sembelit.
Bayi yang berdepan masalah ini biasanya akan menghasilkan najis seperti tanah liat yang sangat keras.
Najis keras boleh menyukarkan proses membuang air besar, bayi anda berkemungkinan akan menangis atau menjadi tegang.
3. Darah
Sekiranya anda terlihat garis-garis darah merah di atas najis bayi anda, ia adalah kerana bayi mengalami kesukaran ketika proses membuang najis dan menyebabkan luka di sekeliling dinding dubur.
4. Perut keras
Perut keras boleh menjadi tanda sembelit. Kembung dan tekanan yang disebabkan sembelit boleh menyebabkan bayi anda cepat berasa kenyang.
5. Tidak mahu makan
Kehilangan selera pada bayi anda mungkin disebabkan ketidakselesaan yang dihadapinya. Malah perut yang kembung juga boleh menyebabkannya tidak mahu makan.
4P – Pemakanan yang Digalakkan untuk Beri pada Anak Sembelit

Ketika anak anda mengalami sembelit, mama boleh tambahkan pemberian 4P bagi melembutkan najis anak. Apa itu 4P? Papaya (Betik), Prune (Buah Prun), Pear (Buah Pir), dan Plum (Buah Plum).
Papaya (Betik)

Sebuah kajian yang diterbitkan menerusi Neuro Endocrinol Letter pada 2013 menjelaskan individu yang makan betik selama 40 hari kurang risiko mengalami masalah sembelit atau perut kembung.
Kandungan enzim papain di dalam betik (terutamanya yang masih muda) akan membuatkan protein lebih mudah dihadam sekaligus melancarkan proses membuang air besar.
Prune (Buah Prun)
Buah Prun sangat tinggi dalam serat dan mengandungi sorbitol, sejenis bahan yang secara semulajadi membantu melegakan sembelit.
Prun mempunyai 14.7g daripada sorbitol setiap 100g, manakala jus prun mempunyai 6.1g per 100g. Anda perlu minum lebih banyak jus prun untuk mencapai manfaat kesihatan yang sama kerana jus prun berasal dari prun yang telah diproses dan mengandungi gula tambahan.
Pear (Buah Pir)
Buah pir antara buah yang mampu mengatasi sembelit. Buah ini mengandungi serat, sorbitol dan fruktosa yang dapat melancarkan pencernaan.
Tidak hanya itu, pir mempunyai kandungan air yang tinggi dan dapat membantu meringankan dan mencegah sembelit.
Plum (Buah Plum)
Buah plum mengandungi serat yang banyak yang boleh membantu melancarkan pencernaan.
Tambahan pula, jus buah plum dianggap sebagai pelancar buangan kerana kandungan sorbitolnya yang tinggi.
BRAT – Pemakanan yang Perlu Dielakkan
Jika mama mendapati anak mama menghadapi kesukaran untuk membuang air besar atau sembelit, mama boleh berhenti untuk berikan mereka BRAT iaitu Banana (Pisang), Rice (Nasi), Apple (Epal), dan Toast (Roti).
Banana (Pisang)

Pisang ialah salah satu buah-buahan yang berkhasiat dan banyak manfaat. Pisang mengandungi banyak vitamin serta nutrien. Namun, kanak-kanak yang masih belum matang sistem penghadamannya, akan mengalami sembelit jika mengambil terlalu banyak pisang. Anda hanya boleh memberikan anak anda sebiji pisang pada selang 2-3 hari sekali.
Rice (Nasi)

Makanan tinggi karbohidrat merupakan salah satu penyebab sembelit. Makanan penyebab sembelit ini seperti nasi putih, roti tawar putih, dan pasta. Hal ini kerana makanan-makanan tersebut sangat rendah serat dan rendah cairan, namun tinggi lemak.
Apple (Epal)
Epal adalah antara makanan yang tinggi serat. Kandungan air yang tinggi dalam epal sebenarnya membantu buang air besar. Namun, pengambilan epal yang terlalu banyak berkemungkinan menyebabkan kembung perut dan sembelit. Jadi mama perlu berpada dalam memberi anak epal ya.
Toast (Roti)
Sama seperti nasi, roti adalah antara makan yang mempunyai kandungan karbohidrat yang tinggi. Sementara anak masih mengalami kesukaran membuang air besar, mama boleh elakkan dari beri anak roti.
Semoga perkongsian mama-share dapat membantu mama menjaga kesihatan anak-anak dengan baik!