Setiap ibu bapa pasti mahukan anak sentiasa sihat dan selesa. Kadang-kadang, anak yang kelihatan sakit membuatkan ibu bapa cemas dan risau, lebih-lebih lagi dengan anak pertama kerana inilah pengalaman pertama ibu bapa berhadapan dengan bayi sendiri. Menurut statistik, 1 daripada 5 bayi akan mengalami colic yang biasanya bermula seawal bayi berusia kurang sebulan dan mungkin berterusan sehingga bayi berusia 6 bulan. Anda pernah dengar istilah baby colic?
Salah satu kemungkinan yang akan berlaku kepada bayi kita adalah kembung perut disebabkan angin atau yang dinamakan juga sebagai ‘colic‘. Menurut statistik, 1 daripada 5 bayi akan mengalami colic yang biasanya bermula seawal bayi berusia kurang sebulan dan mungkin berterusan sehingga bayi berusia 6 bulan. Walaupun secara amnya baby colic tidak merbahaya, namun, ibu bapa mana yang sanggup melihat bayi kecil mereka mengerang kesakitan? Apatah lagi jika colic ini berlaku dengan kerap, ada kemungkinan tidur ibu bapa akan terganggu.
Di sini, mama-share akan cuba menghuraikan tanda-tanda serta cara-cara untuk membantu anak anda menghadapi colic.
Tanda-tanda Baby Colic
1. Menangis dengan nyaring secara berterusan
Perkara ini boleh terjadi berterusan antara 10 minit sehingga lebih sejam lamanya.
2. Kejadian menangis di atas berlaku pada waktu yang lebih kurang sama setiap kali
Banyak ibu bapa berkongsi colic pada anak mereka berlaku pada lewat petang atau lewat malam sewaktu anak tidur.
3. Bayi menggenggam tangan tanda kesakitan
4. Bayi menegangkan badan tanda kesakitan
Tanda-tanda di atas adalah secara umum. Andai anda merasakan anak-anak anda terlalu sakit, kami nasihatkan terus kejarkan ke pusat perubatan berdekatan.
Cara Untuk Mengurangkan Angin Colic Pada Bayi
1. Gunakan Botol Susu Anti-colic
Di pasaran, jenama terkemuka biasanya mempunyai pilihan anti-colic. Rekaan botol seumpama ini biasanya khas untuk mengurangkan angin masuk ke dalam perut bayi.
2. Bedung Bayi Anda Dengan Kemas
Pembedungan yang kemas membuatkan bayi rasa selesa serta perut bayi sedikit ditekan untuk membantu angin dikeluarkan dengan lebih mudah.

3. Jadikan Rutin Mengurut Perut Anak Anda
Penulis sendiri menjadikan rutin selepas memandikan bayi pada lewat petang dengan air panas, penulis akan mengambil masa sekitar 2-5 minit untuk mengurut seluruh badan bayi, terutamanya bahagian perut. Untuk perut, urutlah dalam bentuk bulatan pada arah jam berpusing.
Kami kongsikan gambarajah mengurut bahagian atas bayi seperti berikut:-

Kredit imej: Raising Children
4. Sapukan Krim Panas Pada Perut
Cari krim panas yang sesuai untuk digunakan pada kanak-kanak. Sapu dengan rata dan boleh juga digabungkan dengan teknik urutan di atas. Penulis secara peribadi menggunakan krim herba Tropika.

Kredit Imej: Lazada
5. Gunakan puting / pacifier yang sesuai
Menggunakan puting (pacifier) boleh membantu bayi tenang dan meredakan colic.
6. Gunakan Ubat Colic Bayi
Langkah terakhir yang boleh diusahakan andai semua langkah di atas tidak menjadi, anda boleh untuk menggunakan cecair colic bayi, contohnya cecair Dentinox. Ubat ini diambil 2.5 ml untuk maksimum 6 kali sehari. Ubat ini sesuai juga untuk bayi yang baru lahir sekalipun.

Kredit Imej: Dentinox
Kesimpulan
Akhir sekali, sentiasa peka dengan situasi anak anda. Ibu bapa perlu belajar untuk mencari punca permasalahan bayi bagi memberi penyelesaian terbaik untuk bayi anda. Jika terdapat rasa kemusykilan, jangan ambil risiko sebaliknya teruslah bawa anak merujuk kepada yang pakar. Lebih baik bersusah dahulu daripada menyesal kemudian.