Baby Positive covid-19? Mama jangan panik dan ikuti tatacara yang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) keluarkan ini ya.
Kenalpasti Gejala Covid-19 yang baby mama alami

Kebanyakan kanak-kanak atau baby yang dijangkiti covid-19 tidak bergejala atau hanya bergejala ringan. Antara gejala yang dialami baby positive covid-19 adalah seperti di bawah:
- Batuk
- Demam
- Sakit Kepala
- Sesak Nafas
- Cirit-Birit
- Muntah
- Kelesuan
- Hilang Deria Rasa/Bau
PENTING! Pantau Tahap Kesihatan Baby Anda
Mama Ayah perlu sentiasa memantau tahap kesihatan baby anda dan bertindak segera untuk menghubungi talian kecemasan 999 atau CAC terdekat anda untuk mendapatkan bantuan sekiranya simptom anak anda menjadi teruk seperti di bawah

Batuk dan selsema yang berterusan melebihi 7 hari
Ketika positive covid-19, bayi anda biasanya akan mengalami batuk dan selsema. Gejala ini secara normalnya berlaku pada hari pertama hingga hari ketiga jangkitan. Mama boleh beri ubat batuk dan ubat selsema mengikut dos yang sesuai berdasarkan nasihat doktor anda. Namun, sekiranya gejala ini berterusan melebihi 7 hari, mama perlu membawa baby ke CAC terdekat untuk mendapatkan rawatan yang bersesuaian bagi mengelakkan jangkitan yang lebih teruk
Nafas laju/sukar bernafas
Bagi Baby yang mengalami batuk, mama ayah wajib perhatikan pernafasan anak sepanjang dijangkiti. Sekiranya nafas anak laju atau anak mengalami kesukaran bernafas, segera bawa anak ke pusat rawatan terdekat atau hubungi CAC terdekat anda.
Nota: Untuk mengetahui pernafasan abnormal, mama perhatikan tulang leher anak anda sekiranya lekuk terlalu dalam ketika anak bernafas dan lekuk di bawah tulang rusuk juga nampak ke dalam selain anak bernafas laju, bermakna anak mengalami kesukaran bernafas
Kurang Aktif
Anak mama yang terlalu kurang aktif dan nampak tidak bermaya berkemungkinan mengalami dehidrasi yang teruk. Jadi pastikan anak anda makan dan minum secukupnya bagi mengelakkan gejala ini bertambah teruk. Sekiranya anak berterusan tidak bermaya, dapatkan rawatan segera
Tiada Selera Makan
Bagi anak yang tidak sihat, kebiasaannya mereka tidak mempunyai selera makan. Mama boleh memyediakan makanan mudah dihirup seperti sup atau bubur dan pastikan anak minum air masak yang mencukupi.
Sakit dada dan Sakit Perut
Sekiranya anak anda mengadu mengalami sakit dada atau sakit perut, segera dapatkan nasihat daripada CAC terdekat anda.
Hujung jari tangan dan kaki menjadi sejuk (Cold and Clammy Peripheries)
Ketika demam, anak mungkin akan mengalami simptom ini. Namun, sekiranya gejala ini teruk atau berterusan selepas mengambil paracetamol, mama ayah dinasihatkan untuk membawa anak ke pusat rawatan dengan segera
Tanda-tanda Kurang Hidrasi seperti kurang kencing atau bibir kering
Sekiranya anak kehilangan selera makan, dehidrasi mungkin berlaku dan dehidrasi yang teruk boleh membahayakan anak anda. Pantau kencing anak anda dan sekiranya anak tidak kencing, bawa ke pusat rawatan.
Perubahan pada status mental seperti kurang tahap sedar dan kekeliruan
Sekiranya hal ini berlaku, mama ayah dinasihatkan untuk tidak berlengah dan terus bawa anak ke pusat rawatan terdekat.
Sawan
Sama seperti di atas, mama ayah perlu segera membawa anak ke pusat rawatan terdekat. Atas nasihat doktor sekiranya anak sedang mengalami sawan, mengiringkan anak ke kiri, kira tempoh masa anak mengalami sawan dan sekiranya mampu, rekod video ketika anak mengalami sawan. Ini akan membatu doktor mengenalpasti simptom sawan yang anak anda alami.
Demam yang Berterusan
Ketika positive covid-19, bayi anda biasanya akan mengalami demam. Gejala ini secara normalnya berlaku pada hari pertama hingga hari ketiga jangkitan. Mama boleh beri paracetamol mengikut dos yang sesuai berdasarkan nasihat doktor anda. Namun, sekiranya gejala ini berterusan melebihi 7 hari, mama perlu membawa baby ke CAC terdekat untuk mendapatkan rawatan yang bersesuaian bagi mengelakkan jangkitan yang lebih teruk
Gejala loya, muntah atau cirit-birit yang semakin teruk atau berterusan
Gejala ini sekiranya semakin teruk atau berterusan, boleh menyebabkan anak mengalami dehidrasi yang teruk dan mama ayah perlu segera membawa anak ke pusat rawatan.
Semoga perkongsian dari mama-share dapat membantu mama ayah yang mempunyai baby positive covid-19. Artikel ini hanyalah sebagai panduan dari KKM dan Nasihat doktor diperlukan untuk maklumat lebih lanjut