Apa itu Kencing Manis Dalam Kandungan Atau Gestational Diabetes Mellitus (GDM)?
Menurut pakar Endokrinologi Hospital KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital, Dr. Chooi Kheng Chiew, diabetes ketika mengandung adalah situasi yang dialami wanita hamil. Di mana mereka tidak pernah menghidap kencing manis, mempunyai paras glukosa darah yang lebih tinggi sewaktu berbadan dua. Gestational Diabetes Mellitus (GDM) atau Diabetes Gestasi ini boleh memberi komplikasi buruk kepada bayi sehingga menyebabkan kematian dalam kandungan.
Bagaimana Diabetes Gestasi Ini Boleh Berlaku?
Menurut Dr Chooi lagi, kuantiti gula dalam darah dikawal oleh hormon insulin yang dikeluarkan dari pankreas. Namun semasa mengandung, uri atau plasenta menghasilkan pelbagai hormon yang mengganggu keberkesanan dan fungsi hormon insulin, justeru mengakibatkan rintangan insulin.
Dua situasi ini mungkin berlaku, yang pertama, ketika gula tinggi, badan berhenti bertindak balas terhadap insulin yang dikeluarkan. Kedua, penghasilan insulin tidak cukup untuk menurunkan kadar gula dalam darah. Jadi, gula dalam badan akan menjadi terlalu tinggi, maka terjadilah Diabetes Gestasi ini dalam kalangan wanita mengandung.
Risiko Diabetes Gestasi Ketika Hamil
Foto dari KKM
Menurut portal Hello Doktor, komplikasi berikut berkemungkinan tinggi terjadi jika ibu menghidap kencing manis sewaktu mengandung:
Kesan Terhadap Ibu:
- Berisiko menjalani pembedahan caesarean
- Terpaksa bersalin awal
- Proses induksi mengalami kegagalan sangat tinggi disebabkan saiz bayi yang besar
- Terdedah jangkitan saluran kencing
- Jangkitan kulat pada kulit
Kesan Terhadap Bayi:
- Kandungan akan menjadi besar kerana gula tinggi atau dipanggil makrosomia sehingga apabila dilahirkan boleh mencecah 5kg
- Risiko kematian bayi dalam kandungan/keguguran
- Bahu bayi tersangkut jika bersalin normal
- Kecacatan saraf
- Berisiko menghidap kencing manis
- Masalah kegemukan
Siapa Yang Berisiko Menghidap Diabetes Gestasi Ini?
Bilangan ibu yang menghidap diabetes ketika mengandung ini adalah sekitar seorang dalam 10 wanita mengandung. Berikut merupakan ciri-ciri wanita yang berisiko tinggi untuk menghidap Diabetes Gestasi:
- Obes, terutama mereka yang mempunyai BMI melebihi 30 ke atas
- Usia melebihi 25 tahun
- Mempunyai pertalian keluarga yang ada sejarah diabetes
- Pernah ada sejarah terkena GDM sewaktu hamil sebelum ini
- Pernah hamil dengan bayi yang besar sebelum ini
Cara Mengesan Lebih Awal Simptom Kencing Manis
Kebiasaannya, Diabetes Gestasi ini jarang menunjukkan sebarang petanda. Dalam banyak situasi, peningkatan gula dalam darah hanya dapat dikesan sewaktu ujian saringan. Namun jika kadar gula terlalu tinggi, anda mungkin akan alami simptom seperti berikut:
- Sering berasa dahaga
- Kerap buang air kecil melebihi kebiasaan
- Mulut kering
- Mudah kepenatan
Walaupun begitu, adalah dinasihatkan untuk mendapat nasihat doktor untuk kepastian kerana ia juga adalah simptom normal yang berlaku ketika hamil. Mempunyai simptom ini tidak semestinya bermakna anda mengalami kencing manis.
Bacaan Gula Normal Untuk Ibu Hamil (GSP)
Sekarang anda mempunyai gambaran kasar bagaimana GDM boleh membahayakan kesihatan ibu & kandungan, jadi bagaimana pula bacaan gula normal sewaktu mengandung? Ibu mengandung perlu menjalankan ujian MGTT. Selain itu, BSP atau Blood Sugar Profile bergantung kepada dua situasi ini iaitu sewaktu berpuasa dan selepas makan.
Ujian BSP boleh dilakukan di hospital atau klinik kesihatan. Namun, terdapat juga alat ujian untuk anda lakukan ujian kendiri di rumah jika berkemampuan kerana alat ini agak memakan kos.
American Clinical O&G (ACOG) membuat garis panduan seperti berikut:
- Sebelum makan, bacaan normal bsp untuk ibu mengandung adalah kurang daripada <95 mg/dL (5.3 mmol/L)
- 1 jam lepas makan, bacaan normal bsp untuk ibu mengandung adalah kurang daripada <140 mg/dL (7.8 mmol/L)
- 2 jam selepas makan, bacaan normal bsp untuk ibu mengandung adalah kurang daripada <120 mg/dL (6.7 mmol/L)
Ini adalah sekadar panduan sahaja berdasarkan penyelidikan yang dilakukan. Bacaan gula normal ibu hamil boleh berbeza mengikut individu. Sila dapatkan nasihat doktor.
Apa Boleh Buat Kalau Sudah Terkena Kencing Manis?
Jika ujian klinikal sudah mengesahkan anda benar-benar terkena diabetes, perkara pertama sekali yang boleh dilakukan adalah dengan menjaga makan. Terpaksa berpantang makan bukanlah suatu yang menyeronokkan, namun pengorbanan harus dilakukan demi kesihatan kandungan dan juga keselamatan ibu. Berikut merupakan makanan yang perlu anda hindari:
- Pastri seperti kek, mufin, donat
- Minuman bergula seperti air berkarbonat berkalori, sebarang minuman bergula malah jus buah-buahan juga tidak dibenarkan sama sekali
- Makanan segera & diproses
- Makanan bergoreng
- Pencuci mulut seperti aiskrim, puding, cendol
- Makanan berkanji dan tinggi glycemic index (GI) seperti roti putih, nasi putih, kentang, pasta dan seumpamanya. Tinggi kanji bermakna tinggi glukosa, makanan berkanji tinggi adalah punca paras gula dalam badan mencanak naik.
- Oat manis, bijirin manis, bar granola manis
- Hadkan pengambilan buah-buahan. Walaupun menyihatkan, ia tetap mengandungi kandungan fruktosa yang tinggi
Apa je yang boleh dimakan?
- Utamakan makanan yang mengandungi serat yang tinggi seperti sayur-sayuran & buah-buahan yang kurang manis
- Makanan kaya protein seperti ayam & ikan
- Bijirin penuh
- Susu
Bagaimana Pesakit Gestational Diabetes Mellitus (GDM) Ini Dirawat?
Untuk memastikan kadar gula sentiasa berada paras selamat, pesakit kebiasaannya akan dinasihatkan untuk:
- Menjaga makan dan mengelakkan makanan seperti yang disenaraikan di atas
- Melakukan aktiviti senaman ringan mengikut saranan doktor sekurang-kurangnya 30 minit sehari
- Suntikan insulin jika diperlukan
- Ubat-ubatan prekripsi doktor