Loya, muntah dan pening kepala ketika awal mengandung adalah perkara biasa yang ibu mengandung perlu lalui. Tahap keterukan dan tempoh mabuk ketika mengandung adalah berbeza bagi setiap individu. Ada ibu yang mengalami mabuk ringan dan bertahan sehingga tamat trimester pertama. Namun, ada juga yang mengalami mabuk teruk dan berlarutan walaupun ketika kandungan sudah besar.
Terdapat beberapa perkara ibu boleh lakukan untuk melegakan simptom mabuk ketika mengandung dan mengurangkan ketidakselesaan yang dialami. Mama-share.com akan kongsikan 5 cara yang boleh ibu hamil lakukan untuk melegakan simptom mabuk anda.
Pastikan Perut Anda Tidak Kosong
Foto dari Unsplash
Anda dinasihatkan untuk makan dalam kuantiti yang sedikit dengan kerap bagi mengelak perut anda terlalu kosong. Kebiasaannya, perut kosong menyebabkan ibu mengandung lebih mudah terasa loya dan muntah juga menjadi lebih teruk. Ini kerana ketika perut kosong berikutan asid perut yang ikut keluar ketika muntah. Makanan tinggi karbohidrat seperti roti, nasi dan pasta serta rendah lemak boleh membantu mengurangkan gejala anda. Anda boleh sediakan biskut kraker, roti bakar atau pisang berdekatan anda. Ia bertujuan supaya mudah dicapai dan anda boleh mengunyah bagi mengurangkan loya yang dirasa.
Teh Halia atau Teh Pudina
Cuba minum teh halia atau teh pudina. Makanan tambahan berhalia boleh membantu mengurangkan gejala loya dan muntah dalam kalangan sesetengah ibu mengandung. Selain halia, chamomile, vitamin B6 dan/atau rawatan akupuntur atau akutekanan juga boleh membantu melegakan rasa loya pada awal kehamilan. Untuk akutekanan, anda perlu memakai jalur atau rantai pergelangan tangan khas.
Minum Banyak Air atau Minuman
Seperti yang kita tahu, pengambilan air putih yang mencukupi dapat mengekalkan kondisi badan yang sihat. Terapkan untuk meminum 6-8 gelas air putih dalam sehari. Namun harus diingat, para ibu mestilah mengurangkan minuman berkafein, minuman manis, minuman berkarbonat ataupun minuman beralkohol sepanjang kehamilan. Hal ini kerana ianya akan menyebabkan alahan yang semakin teruk.
Bangun Awal
Tips ini barangkali nampak simple. Tapi tahukah anda loya dan pening dari mabuk ketika mengandung itu lebih teruk semasa bangun tidur? Oleh itu, dengan bangun lebih awal, para ibu boleh lah ambil lebih masa untuk berbaring sebelum bangkit dari tilam anda. Para ibu boleh juga gunakan masa berbaring untuk mengelakkan dari bangkit secara tiba-tiba. Ini membantu mengelakkan trigger rasa pening dan loya.
Elakkan Terlalu Stress
Tekanan atau stress boleh membuatkan alahan semakin teruk. Oleh itu, sekiranya anda berasa terlalu tertekan, para ibu haruslah bijak untuk mengimbangkan rasa tekanan tersebut; cuba kurangkan beban pekerjaan yang dialami. Kurangkan membuat kerja-kerja yang berat ataupun cari alternatif lain untuk bantu anda kurangkan tekanan anda. Contohnya, menonton rancangan kesukaan anda, tidur dan rehat secukupnya, membaca. Anda juga boleh cuba terapi pelengkap, meditasi, penggunaan aromaterapi, bersenam, bersembang dengan kawan dan sebagainya.
Dapatkan Nasihat Doktor Untuk Cara Hilangkan Alahan Mengandung
Mengalami mual dan loya sewaktu hamil adalah asam garam proses kehamilan. Tetapi para ibu harus peka dalam perubahan yang terjadi sepanjang kehamilan anda. Jika anda mengalami sebarang tanda-tanda di bawah, segeralah mendapatkan nasihat doktor bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.
- Air kencing berubah menjadi gelap atau sukar kencing melebihi 8 jam
- Kerap muntah dan tidak makan atau minum selama 24 jam
- Berasa terlalu lemah, pening dan ingin pitam apabila berdiri
- Rasa sakit sewaktu kencing/kencing berdarah
- Anda kehilangan berat badan yang melampau.
Semoga tips-tips ini bermanfaat dan selamat menjalani pengalaman-pengalaman indah sewaktu kehamilan ini.