PUTRAJAYA: Selebriti popular, Neelofa tetap dengan pendirian tidak kongsi wajah anak, Muhammad Bilal, malah, tidak terkesan kritikan netizen ekoran mempercayai panahan penyakit Ain.
Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor, 33, berkata dia mahu Muhammad Bilal membesar seperti anak-anak lain, hanya akan berkongsi wajahnya apabila tiba masa yang sesuai.
“Kalau netizen mempermainkan mengenai soal ini, sebenarnya mereka mempermainkan kewujudan penyakit Ain. Bukan mempermainkan saya.
“Dan penyakit Ain ada dalam hadis sahih. Saya tidaklah pandai, tetapi saya mungkin boleh mencegahnya.
Yang penting soal kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan anak
“Saya lakukannya walau netizen mengecam sekali pun. Yang penting soal kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan anak. Tunggulah, beri Bilal besar sikit.
“Saya bukanlah mahu sorok atau tutup terus muka Bilal. Hanya berikan saya sedikit masa dan Bilal besar sedikit, barulah kami akan membawanya keluar,” katanya kepada BH Online.

Terdahulu, Neelofa enggan berkongsi wajah Bilal memandangkan anaknya masih kecil, justeru mahu mengelakkan penyakit Ain iaitu gangguan disebabkan pandangan.
Pun begitu, Neelofa berkata, tidak meletakkan jangka masa seperti dua atau tiga bulan untuk berkongsi wajah Bilal.
Kata Neelofa, masa akan tiba suatu hari nanti.
“Bilal baru mula makan, bulan hadapan, jadi kita lihat bagaimana pertumbuhannya. Bila semuanya okay, kita akan perlahan-lahan kongsi wajahnya,” katanya.
Dalam menerima kritikan netizen, Neelofa turut mengakui, dia menerima sokongan positif dari rakan artis, antaranya pelakon dan pengacara, Elly Mazlein.
Sokongan Positif dari Rakan
“Macam Elly sendiri, dia pernah berkongsi. Dia nampak anaknya lebih ceria dan gembira apabila di sekolah kerana orang tidak mengenalinya anak siapa.
“Jadi, ia adalah untuk kesihatan mental kanak-kanak juga. Mungkin jika pergi mana-mana, kena serbu atau ada yang mahu bergambar.
Neelofa tidak kongsi wajah anak
“Kasihan pada Bilal. Dahulu saya panjat pokok tiada orang kisah pun macam zaman kecil,” katanya.
Neelofa mendirikan rumah tangga dengan pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz pada 27 Mac 2021 dan dikurniakan anak, Muhammad Bilal pada 29 Januari lalu.
Bekas pengacara MeleTOP itu ditemui pada majlis pelancaran koleksi Naelofar tema Disney kedua ‘Alice In Wonderland’ di pusat beli-belah IOI City Mall.
Berkongsi lanjut mengenai koleksi terbaru itu, Neelofa berkata, dia seronok dapat turun padang menjayakan majlis pelancaran selepas tidak dapat menyertai pelancaran pertama kerjasama Naelofar X Disney Little Mermaid, beberapa bulan lalu berikutan masih dalam tempoh berpantang.
“Ini adalah kerjasama kedua saya bersama Disney. Kali pertama bersama Little Mermaid dilancarkan pada Februari lalu, tetapi saya masih berpantang.
“Disney datang menghulurkan kerjasama. Kami akan bekerjasama dalam tempoh tiga tahun.
“Jadi, akan ada lagi koleksi baharu pada masa akan datang. Koleksi ketiga kini dalam pembikinan.
“Kalau kita tengok beberapa jenama lain turut bekerjasama dengan Disney. Mereka memilih Cinderella, Beauty And The Beast, tetapi tiada lagi memilih Alice in The Wonderland.
“Jadi, saya memilih sesuatu yang berbeza,” katanya yang turut terbabit dalam proses rekaan koleksi baharu itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd
Ikuti perkongsian kami mengenai perkembangan bayi