Buat ibu-ibu mengandung yang ingin melakukan ultrasound scan, ada pelbagai jenis scan yang boleh anda dapatkan bagi mengetahui keadaan kandungan anda. Kadangkala, ibu juga boleh keliru yang mana satu perlu dilakukan dan bila scan boleh dilakukan. Ikuti perkongsian dari mama-share.com hari ini bagi mendapatkan jenis scan yang terbaik untuk anda lakukan.
Transvaginal Ultrasound Scan (Scan Melalui Faraj) – Trimester 1
Ultrasound transvaginal, atau turut dikenali sebagai ultrasound endovaginal adalah ujian ultrasound pelvis yang digunakan untuk memeriksa organ pembiakan (reproduktif) wanita, merangkumi:
- Rahim
- Tiub fallopio
- Ovari
- Serviks
- Faraj
‘Transvaginal’ bermaksud melalui faraj (vagina). Ia adalah satu pemeriksaan dalaman. Tidak seperti ultrasound perut atau pelvis biasa, iaitu transduser berada pada bahagian luar, prosedur ujian transvaginal ini memerlukan doktor memasukkan alat tersebut ke dalam saluran faraj, atau bahasa mudahnya scan melalui faraj.
Terdapat banyak sebab mengapa ujian transvaginal mungkin perlu dilakukan. Ini termasuklah apabila melibatkan masalah kesihatan seperti:
- Scan di awal kandungan
- Pemeriksaan keabnormalan pada pelvis atau perut
- Pendarahan faraj yang tidak dapat dijelaskan
- Kesakitan pada pelvis
- Kehamilan ektopik – janin membesar pada tiub fallopio
- Ketidaksuburan
- Pemeriksaan untuk sista atau fibroid rahim
- Memastikan IUD diletakkan dengan betul
Doktor anda mungkin juga mengesyorkan scan melalui faraj semasa kehamilan untuk:
2D Ultrasound Scan (Kandungan Minggu 10 dan ke atas)
- Memantau degupan jantung janin
- Mengenal pasti sebarang perubahan pada serviks yang boleh mengakibatkan komplikasi kehamilan seperti keguguran atau kelahiran pramatang
- Pemeriksaan plasenta untuk sebarang keabnormalan
- Mengenal pasti punca pendarahan tidak normal
- Mendiagnosis kemungkinan keguguran
- Mengesahkan kehamilan awal
Foto dari Sonovision
2D ultrasound, juga dikenali B-mode ultrasound, juga dikenali imej hitam-putih ultrasound. Prinsip asas scan kandungan ini adalah interpretasi digital tahap “kecerahan” bintik putih-hitam terhadap data jarak dan kekuatan gelombang bunyi. Imej yang terpapar di skrin adalah “hirisan” organ/struktur yang diimbas. Pentafsiran “hirisan” imej ini biasanya hanya difahami doktor atau sonographer kerana memerlukan pemahaman anatomi dan latihan interpretasi terperinci. Apa yang lebih penting, sehingga hari ini detailed scan mesti dilakukan dengan 2D untuk melihat organ dalaman baby.
3D,4D Ultrasound Scan (Minggu 27 dan ke atas)
“Hirisan-hirisan” imej scan kandungan yang dipapar secara berasingan kini digabung secara elektronik membentuk organ/struktur yang lengkap.. Apabila imej 3D ini diberi ciri warna kekuningan untuk menyerupai warna kulit sebenar…… tadaaaa…. maka terhasil lah bentuk muka bayi.
Penggabungan data ini memerlukan tempoh masa yang lebih lama berbanding 2D. Sepanjang tempoh itu, objek yang discan perlu statik – tidak boleh bergerak. Secara amnya, tempoh masa yang diambil ini lebih kurang 3 – 7 saat, bergantung kepada kecekapan mesin ultrasound. Lebih cekap mesin ultrasound, lebih pendek tempoh masa yang diperlukan. Jadi, jurutera-jurutera ultrasound bersaing untuk menghasilkan mesin yang lebih cekap supaya imej lebih cantik. Bukan mudah ya, nak dapat bayi diam tak bergerak untuk tempoh 7 saat. Kalau nak dapat imej bayi tersenyum, bayi perlu senyum untuk tempoh 3 saat, kalau tak, nampak macam mulut baby senget pula.
Detail Scan (Minggu 18 – Minggu 24)
Detail scan sering dilakukan pada usia kandungan 18 minggu hingga 24 minggu. Jika dibuat bawah 18 minggu, bayi terlalu kecil dan kemungkinan beberapa organ tidak jelas kelihatan dan jika buat lebih dari 24 minggu, bayi sudah membesar dan keadaan bayi sudah penuh di rahim. Tujuan membuat scan kandungnan ini adalah untuk melihat struktur organ bayi secara lebih teliti antaranya kepala,muka,jantung,tulang belakang, tangan, kaki, jantina dan termasuklah abdomen iaitu hati, buah pinggang,pundi kencing. Detail scan ini berkait rapat dengan 2D scan. Gambarannya adalah hitam dan putih. Seperti gambar di bawah.
Kita dapat lihat kedudukan perut, jantung dan paru-paru bayi.
Tulang belakang bayi juga boleh kelihatan pada details scan 2D.
Gender Scan (Minggu 18 – Minggu 21)
Seperti namanya, gender scan adalah untuk mengenalpasti jantina bayi anda. Ia dilakukan menggunakan 2D scan. Kebiasaannya jantina bayi boleh diketahui melalui imbasan ultrasound sekitar 18-21 minggu umur kandungan.